Tuesday, April 19, 2011

Kukuhkan Institusi Keluarga

ARKIB : 26/04/2010

Kukuh institusi keluarga

Berita seorang pelajar sekolah dirogol di dalam bilik darjah oleh rakan sekolahnya, pelajar remaja dirogol sekumpulan lapan orang dan beberapa kes bunuh diri dari kalangan orang Melayu Islam amat mengganggu kita kebelakangan ini. Terbaru, remaja belasan tahun didapati menggantung diri.

Melihat senario itu, nampaknya bilik darjah kini tidak lagi selamat. Rakan-rakan sekolah tidak lagi boleh dipercayai. Agama tidak lagi menjadi pendinding dalam tindakan. Tekanan perasaan dan perasaan keterasingan membawa padah apabila nyawa sendiri menjadi taruhan.

Tidak perlu menuding jari. Yang terjadi telah terjadi. Tidak mustahil esok, ahli keluarga terdekat kita yang menjadi mangsa. Tatkala itu, kita akan tahu betapa sakit, pedih dan sedihnya berhadapan dengan situasi itu.

Oleh kerana itu, semua pihak harus prihatin terhadap apa yang terjadi. Ini adalah antara isu-isu yang mungkin tidak terfikir dek akal kita selama ini. Kita hanya membaca dan menggeleng kepala terhadap apa yang terjadi kepada orang lain tanpa kita duga yang ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Apakah tindakan yang wajar kita sama-sama lakukan selepas ini? Pertama, ia harus bermula dari dalam rumah. Kukuhkan institusi keluarga, tanamkan perasaan kasih sayang, sikap prihatin dan melihatnya sebagai amanah Tuhan yang tidak harus diabaikan. Kesibukan bagaimana sekali pun dalam mencari rezeki bukan alasan untuk abaikan keluarga.

Anak-anak lahir dari kasih sayang sepasang suami isteri, walaupun terdapat juga yang lahir secara terpaksa atau tidak diminta. Dalam sebuah unit keluarga, biasanya anak lahir daripada hasrat bersama.

Seperti mana kita menghargai kasih sayang ibu bapa dan keluarga, maka kita juga bertanggungjawab dan memegang amanah besar dalam memberikan dan berkongsi kasih sayang dan amanah terhadap anak-anak kita.

Menyayangi anak-anak dan keluarga bukan sahaja bermakna memenuhi keperluannya, tetapi juga mengawasi, mengambil berat, mengambil tahu dan sentiasa tahu perkembangan anak-anak dan ahli keluarga.

Ini bermakna, ibu bapa berperanan untuk memastikan anak-anak dan anggota keluarganya sentiasa dalam sejahtera, malah juga mensejahterakan anggota masyarakat seluruhnya.

Selain itu, para pemimpin institusi yang ada harus memainkan peranan yang sewajarnya. Bukan sahaja institusi sekolah, malah juga institusi agama dan institusi-institusi lainnya.

Institusi sekolah dan warganya harus tidak sentiasa bersikap menghukum, tetapi mendidik. Guru-guru harus menjadi role model kepada anak-anak. Agak malang apabila sesekali terdengar berlaku pergaduhan guru-guru yang disaksikan murid dan pelajar, sikap guru yang tidak sesuai dengan institusi sekolah dan pendidikan dan pelbagai isu lain.

Kita faham tekanan yang dihadapi oleh para pendidik kita. Malah kita juga melihat pelbagai ganjaran yang diberikan untuk membantu para pendidik kita. Namun yang paling penting adalah profesionalisme guru dan roh 'pendidik' dan 'guru' harus diberikan keutamaan.

Guru dan pendidik bukan lagi seperti mana zaman tahun 60-an yang berkhidmat secara sukarela dan mempunyai minta mendalam terhadap pembangunan ilmu anak bangsanya.

Justeru, institusi sekolah dan pendidikan harus membangunkan sistem yang berupaya mendidik anak-anak kita, sehinggalah ke institusi pengajian tinggi untuk memahami dan menghayati kepentingan terhadap isu-isu yang berkaitan sama ada secara formal atau pun di luar bilik darjah.

Malah di institusi pengajian tinggi kita, aktiviti-aktiviti pelajar harus menumpukan kepada usaha ini melalui begitu pertubuhan dan persatuan yang ada. Anak-anak muda kita harus diberikan kefahaman mendalam tentang kesan dan natijah yang berlaku dalam setiap tindakan yang dilakukan secara jangka panjang.

Begitu juga dengan institusi agama termasuk institusi masjid yang ada hampir di setiap mukim dan kampung di negara kita. Institusi agama harus berupaya untuk berjalan seiring dengan anak-anak kita tanpa sebarang prejudis.

Biar bagaimanapun tingkah laku anak-anak kita, tanpa mengira sesiapa, mereka perlu dibuat kawan dan dibimbing.

Jiwa anak-anak dan remaja harus dilihat dalam konteks keremajaan dan zaman yang dilalui tanpa perlu membandingkan mereka dengan zaman dan tingkah laku kita pada zaman kita sebagai anak-anak dan remaja.

Para imam, ustaz dan cerdik pandai agama kita harus sentiasa mempunyai empati yang tinggi terhadap jiwa anak-anak kita. Menyalahkan mereka, memandang buruk dan melihat mereka dengan pandangan hina dan menghukum, tidak akan menyelesaikan masalah.

Lihat bagaimana stigma yang ada dalam masyarakat terhadap para penagih dadah serta mereka yang menghidapi HIV/AIDS yang dipandang hina dan tidak dipedulikan oleh anggota masyarakat dan keluarga sehingga menyebabkan ramai yang terus hidup dalam dunianya sendiri.

Kesilapan yang masyarakat lakukan adalah kita enggan berkawan dan memahami mereka. Dalam banyak keadaan, anak-anak dan remaja, malah juga orang dewasa hilang haluan dan pertimbangan apabila tiada tempat mengadu, tiada teman untuk mendengar dan berkongsi masalah, manakala kemurungan menjadi antara petanda awal yang menjerumuskan mereka dalam membuat keputusan yang mungkin di luar jangkaan kita.

Selain itu, badan-badan sukarela perlu menggerakkan tenaga dan usaha mereka untuk bersama-sama mendekati anak-anak, remaja, malah mereka yang berhadapan dengan masalah.

Di negara ini, kita mempunyai banyak badan sukarela yang berteraskan pelbagai kepentingan dan kumpulan masyarakat. Dalam banyak keadaan, cadangan yang diberikan adalah penguatkuasaan dan pengukuhan pelbagai agensi kerajaan.

Namun, keprihatinan dalam mengurangkan masalah yang ada harus digerakkan oleh badan-badan sukarela dan anggota masyarakat seluruhnya. Konsep gotong royong, berderau, khidmat masyarakat dan pelbagai lagi adalah antara aktiviti yang harus digerakkan secara besar-besaran.

Setiap pihak harus melihat isu-isu sosial sebagai masalah bersama yang harus diselesaikan bersama. Ia adalah isu bersama yang patut melibatkan semua pihak, bukan khusus kepada kumpulan tertentu.

Pada masa yang sama, agensi-agensi amanah harus terus memberikan sokongan dalam semua usaha yang dilakukan secara berterusan. Mereka yang berada di agensi-agensi amanah perlu menunaikan amanah yang diberi tanpa putus asa demi mewujudkan kesejahteraan masyarakat pada masa depan.

Kes rogol, buang bayi, bunuh diri serta jenayah-jenayah lainnya hanya dapat dikurangkan dengan adanya tindakan holistik yang melibatkan semua pihak. Ia bukan hanya tanggungjawab pihak tertentu, tetapi tanggungjawab kita semua.

Dalam perkara itu, ibu bapa dan keluarga adalah unit terpenting dalam memastikan kesejahteraan semua, sebagai pemerhati sekali gus mengambil tindakan awal untuk mengelakkan masalah menjadi lebih runcing. Kasih sayang yang mendalam perlu menjadi alat utama untuk mengikat kita sebagai satu unit sosial yang kukuh dalam menghadapi apa jua keadaan yang berlaku.

Anak-anak malah kita sendiri mungkin melakukan kesilapan, tetapi dengan adanya bimbingan dan kasih sayang yang mendalam, ia boleh diselesaikan supaya anak-anak tidak terus hanyut serta mengambil keputusan yang menimbulkan kesusahan kepada dirinya, mahu pun mereka yang berada di sekelilingnya. Kasih sayang harus dikongsi dan dirasai bersama.

Peranan Institusi Keluarga

Peranan institusi keluarga dalam penjanaan bangsa bertamadun

Jurnal Kemanusiaan bil.9, Jun 2007
Peranan institusi keluarga dalam penjanaan bangsa bertamadun
Ratna Roshida Abd. Razak
ratna@usm.my
Nik Haslinda Nik Hussain
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan
Universiti Sains Malaysia
Abstrak
Artikel ini membincangkan tentang permasalahan sosial yang dihadapi oleh masyarakat
Melayu. Hal ini menjadi suatu keperluan untuk ditangani dalam konteks negara kita sedang
menuju ke era pembangunan dan mencapai status negara maju. Justeru itu, peranan keluarga
adalah komponen yang paling asas dalam proses pembentukan masyarakat dan negara
keseluruhannya. Artikel ini mencadangkan agar pendidikan dijadikan perkara yang paling
asas untuk membangunkan umat dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
Tambahan pula, ajaran agama Islam yang terkandung dalam kitab al-Qur’an dan hadith
begitu banyak memuatkan tentang peranan ibu bapa, kepentingan pendidikan dan
pembangunan ummah.
Pendahuluan
Keluarga merupakan komponen penting dalam proses pembentukan masyarakat dan
seterusnya negara. Tanpa institusi keluarga, kewujudan negara tidak akan sempurna. Islam
memandang keluarga sebagai sebuah institusi pencorak masyarakat yang bakal dibina. Di
dalam Islam tanggungjawab kepimpinan keluarga pada asasnya terletak pada kaum lelaki.
Walau bagaimanapun dalam memastikan kejayaan institusi ini, kedua-dua belah pihak iaitu
ibu dan bapa seharusnya memainkan peranan yang sama penting. Sebagai suami peranan asas
ialah menyediakan keperluan seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian. Bukan itu sahaja,
sebagai seorang ayah, beliau juga bertanggungjawab untuk memberi pendidikan akademik
yang penting untuk perkembangan minda dan pendidikan agama untuk kesejahteraan rohani
dan fizikal. Bagi ibu pula tanggungjawab utamanya ialah memastikan kelancaran dalam
sistem rumah tangga yang disulami perasaan kasih sayang dan hormat menghormati. Mungkin
perkara ini bagi setiap individu yang bergelar ibu dan bapa sudah terlalu arif dan tidak perlu
untuk dibahaskan lagi.
Malangnya kehidupan manusia pada hari ini semakin jauh daripada nilai-nilai moral yang
terkandung dalam al-Quran. Fenomena ini berbeza jika dibandingkan dengan kehidupan para
sahabat iaitu generasi pertama didikan Rasulullah. Nilai-nilai moral yang ada hari ini agak
berubah dan menyimpang. Saban hari bilangan anak-anak Melayu yang terlibat dalam
perkara-perkara yang tidak diingini semakin meningkat. Peratusan anak Melayu yang terlibat
dalam gejala negatif amat membimbangkan kita. Ini kerana anak-anak hari ini merupakan
bakal pemimpin masa depan.
Permasalahan sosial
Permasalahan sosial kini menjadi suatu isu yang serius dalam negara. Satu kenyataan telah
dikeluarkan oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Jurnal Kemanusiaan bil.9, Jun 2007
74
Masyarakat tentang jumlah anak-anak Melayu yang paling banyak berada di pusat pemulihan
akhlak (Utusan Malaysia, 21 April 2004). Sebagai bangsa Melayu yang beragama Islam,
apakah perasaan kita bila mengetahui kedudukan seperti ini. Apakah Islam yang kita faham
sebagai agama penyelamat dan bersifat holistik (menyeluruh) yang merupakan panduan hidup
kita telah menghalakan kehidupan anak-anak kita ke arah tersebut. Ataupun kita sebagai ibu
dan bapa yang telah mengalami kemerosotan integriti dalam sebuah institusi sosial yang
paling penting iaitu keluarga? Dengan perkataan mudah, adakah kita sebagai ibu dan bapa
telah tidak melaksanakan tanggungjawab keibubapaan dengan sebaik yang mungkin?
Dalam menangani kemelut anak-anak Melayu terutama dalam isu-isu moral, perhatian awal
dan dikira paling penting untuk diberi perhatian sewajarnya ialah institusi keluarga. Sebagai
bangsa Melayu yang sering disinonimkan dengan Islam, kita harus sentiasa ingat bahawa
tonggak atau kekuatan bangsa Melayu terletak pada agama Islam itu sendiri. Risalah Islam
yang didatangkan melalui perutusan Rasulullah s.a.w merupakan satu garis panduan lengkap
untuk menjalani sebuah kehidupan. Pada masa yang sama, ia membina sebuah kemajuan yang
dapat membawa kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Islam merupakan satu risalah yang
bertujuan untuk membentuk manusia yang kuat, seimbang dan sempurna keperibadiannya
untuk menjalani kehidupan di dunia dan tidak melupai akhirat, mengumpulkan harta dan tidak
melupakan hari perhitungan, mengambil hak dan tidak melupakan kewajipan. Walau
bagaimanapun apa yang berlaku pada hari ini tidak seperti yang sepatutnya. Mungkinkah ini
terjadi kerana kekaburan tentang bagaimana memahami Islam sebagai satu cara hidup yang
menjamin keselamatan hidup manusia dan pada masa yang sama dapat menghasilkan sebuah
kemajuan di dunia dan juga akhirat?
Matlamat dalam kehidupan
Kemajuan mungkin boleh ditafsirkan menurut tujuan tertentu yang hendak dicapai oleh
manusia. Selagi pergerakan itu ke arah hadapan dan bukan ke belakang, semakin dekatlah
dengan tujuan kemajuan. Begitu juga dengan berhenti yang memberi peluang kepada orang
lain untuk mendahului kita sedangkan kita masih berada di tempat yang sama. Secara
dasarnya setiap manusia itu hidup dan bergerak serta gerakan itulah yang menjadi tanda bagi
satu kehidupan. Dari sini pula timbul satu persoalan apakah matlamat atau objektif yang
manusia perlu dicapai dalam kehidupan mereka agar menepati kemajuan yang disasarkan.
Islam dengan jelas menjadikan hidup manusia di atas muka bumi ini dengan tujuan yang asasi
iaitu yang pertama untuk beribadah kepada Allah. Dalam konteks kekeluargaan, sama ada ibu
atau bapa harus memahami akan tujuan asalnya iaitu untuk melakukan ibadah kepada Allah
sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Zariyat: 56; “Dan Aku tidak menciptakan jin dan
manusia melainkan untuk mereka menyembahKu”. Secara ringkas, apa yang dimaksudkan
dengan beribdat kepada Allah mengikut Ibnu Taimiyyah, mencakupi setiap perkara yang
dicintai dan diredhai Allah sama ada dalam bentuk ucapan atau perbuatan (Yusuf, 1999:223).
Tujuan yang kedua ialah untuk menjadi Khalifah Allah bagi tujuan mentadbir dan
memakmurkan muka bumi ini. Selain berperanan sebagai hamba Allah, pada masa yang sama
juga manusia merupakan khalifah dan pentadbir di muka bumi ini. Tugas ini hanya
dikhususkan kepada Nabi Adam dan zuriatnya.
Tugas sebagai pentadbir ini pernah diminta oleh malaikat tetapi Allah yang lebih mengetahui
segalanya menyerahkannya kepada manusia sebagaimana firmannya dalam Surah al-Baqarah:
30-33; “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya aku
hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka bertanya kepada Allah “Adakah
Engkau (Allah) hendak menjadikan di bumi iu orang yang akan membuat kerosakan dan
peranan institusi keluarga dalam penjanaan bangsa bertamadun
75
menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu
dan mensucikanMu?” Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu
tidak ketahui”. Dan Dia telah mengajar Nabi Adam nama-nama (semua benda) kemudian Dia
tunjukkan kepada malaikat lalu Dia berfirman: “Sebutkanlah kepadaKu nama-nama benda ini
semuanya, jika kamu orang-orang yang benar!” Malaikat menjawab maha suci Engkau (Ya
Allah) Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami.
Sesungguhnya Engkau jualah yang maha mengetahui, lagi maha bijaksana”. Allah berfirman:
Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah
Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman “Bukankah
aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia di langit dan
bumi, dan aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”
Dari maksud ayat di atas, dapatlah difahami bahawa Allah telah memberi kepandaian dan
pengetahuan kepada Adam dan tidak diberikan kepada malaikat. Dengan kelebihan yang
berupa kepandaian dan pengetahuan ini, manusia mendapat tugas sebagai khalifah. Apakah
yang dimaksudkan dengan khalifah Allah di muka bumi ini? Ia bermaksud agar manusia
melaksanakan perintahnya dan menegakkan kebenaran dan keadilan, sebagaimana firman
Allah kepada Nabi Daud bermaksud “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikan
khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar dan janganlah
kamu mengikut hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah” (Surah Shad:
26).
Setiap orang adalah pemimpin dalam lingkungan tertentu. Dalam institusi rumah tangga,
suami atau bapa merupakan pemimpin tertinggi yang diberi tanggungjawab oleh Allah untuk
mentadbirkannya di samping menegakkan kebenaran dan keadilan dalam batas kekuasaannya.
Apa yang dimaksudkan dengan kebenaran ialah apa jua perintah Allah terhadap memastikan
pengurusan rumah tangga berjalan di atas landasanNya. Justeru sebagai khalifah Allah
seorang bapa dan ibu seharusnya bekerja keras dengan bersungguh-sungguh untuk
meningkatkan diri dengan menyerapkan kesempurnaan sifat-sifat ilahiah rabbaniah yang
tinggi dan menjadikan sifat-sifat terpuji itu sebagai pertunjuk yang harus diserap dan diikuti.
Dengan kata lain tugas hakiki sebagai pentadbir rumah tangga ialah memakmurkan institusi
atau dalam konteks yang lebih luas ialah memakmurkan bumi. Firman Allah yang bermaksud
“Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya” (Surah
Hud: 61).
Tugas memakmurkan bumi ini secara jelas disebutkan supaya tidak timbul anggapan di
kalangan manusia bahawa agama hanya memberi perhatian kepada aspek akhirat sematamata.
Sebagai pemimpin rumah tangga, ibu dan bapa perlu menggunakan kesempatan yang
diberikan Allah untuk hidup di muka bumi ini dengan menjalankan tugas keibubapaan dengan
sebaik yang mungkin. Di dalam menyempurnakan tanggungjawab tersebut, mereka tentunya
akan menghadapi pelbagai cabaran, ujian dan rintangan yang didatangkan di dalam berbagai
bentuk Untuk menghadapi segala cubaan dan ujian inilah sebagai hamba Allah, kita
dikehendaki menuntut dan menguasai ilmu pengetahuan.
Lebih jelas dari itu, Allah menjadikan tujuan penciptaan bumi dan perhiasannya, penciptaan
kematian dan kehidupan bagi alam seluruhnya adalah untuk menguji manusia siapa di antara
mereka yang paling baik amalannya. Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Kahfi, ayat 7 yang
bermaksud “Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan
baginya, kerana kami hendak menguji mereka siapakah yang lebih baik amalannya”.
FirmanNya lagi yang bermaksud “Yang menjadikan kematian dan kehidupan untuk menguji
kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya” (Surah al-Mulk: 2).
Jurnal Kemanusiaan bil.9, Jun 2007
76
Dari dua ayat di atas, dapatlah difahamkan bahawa cubaan dalam kedudukan ini bukanlah
bermatlamat menonjolkan siapa yang baik amalannya berbanding dengan yang jahat
amalannya, bahkan matlamatnya ialah menonjolkan siapa yang melakukan amal yang lebih
baik daripada orang lainnya, lebih ideal dan lebih mantap, satu persaingan yang berkisar pada
yang lebih baik bukan pada sekadar yang baik. Justeru, dalam dunia hari ini yang terlalu
mencabar, kewibawaan diri sebagai muslim perlulah menggunakan kesempatan yang
dianugerahkan Allah dengan sebaik mungkin untuk menjadi seorang ibu atau bapa yang
berjaya.
Kedua-dua tujuan pokok penciptaan manusia ini saling lengkap melengkapi antara satu sama
lain. Ibadah kepada Allah adalah sebahagian dari tugas khalifah dan memakmurkan bumi
adalah sebahagian dari ibadah kepada Allah. Justeru itu, mukmin yang berjaya dalam konteks
kekeluargaan ini ialah seorang bapa atau ibu yang dapat mengumpulkan kedua-dua
tanggungjawabnya secara seimbang dan sempurna. Pencapaian seorang mukmin dari tujuan
pokok kehidupannya di dunia ini, maka sebanyak itulah kemajuan dalam sesebuah keluarga
yang dapat diperolehinya. Sebaliknya sebanyak mana kegagalannya dalam memimpin rumah
tangganya, maka sebanyak itulah kemunduran yang dialaminya.
Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa yang maju adalah bangsa yang berilmu. Kemajuan
tidak mungkin akan dicapai tanpa pencapaian ilmu yang tinggi. Untuk tujuan ini ibu bapa
perlu memastikan bahawa perasaan cinta terhadap ilmu ini perlu dipupuk seawal mungkin.
Bermula dari rumah tangga, ibu bapa perlu menyediakan suasana yang kondusif yang boleh
menggalakkan minat anak-anak kepada pertumbuhan ilmu. Dalam hal ini ilmu tanpa nilai
moral boleh menyebabkan manusia akan hilang pertimbangan kemanusiaan. Richard
Livingston, Naib Canselor Universiti Oxford dalam bukunya berjudul “Al-Tarbiyah li ‘Alam
Haier” (Education for Confusing World):
Sekiranya kita mencari ungkapan kata-kata indah untuk melukiskan abad
ini, tentu akan terlintas dalam pemikiran kita berbagai ungkapan. Mungkin
kita menyebutnya sebagai zaman ilmu pengetahuan (sains) atau abad
revolusi sosial atau abad tanpa nilai akhlak. Tetapi ungkapan-ungkapan ini
tidak akan dapat menjelaskan hakikat abad ini secara sepenuhnya ataupun
menyifatkannya dengan adil. Barangkali ungkapan terakhir lebih sesuai
daripada yang lain dalam beberapa sudut untuk diletakkan di tempat
perkiraan (Yusuf, 1999:36).
Generasi hari ini perlu diberi pendedahan tentang kepentingan sejarah terhadap masa depan
mereka. Apa yang dimaksudkan dengan sejarah di sini bukanlah sekadar mengingati tarikh
bila sesuatu peristiwa itu berlaku tetapi yang penting ialah mempelajari kesilapan yang telah
dilakukan agar kesilapan itu tidak diulangi. Sejarah juga telah membuktikan bahawa walau
semaju mana sesebuah tamadun itu, kegagalan untuk belajar dari sejarah boleh meruntuhkan
ketamadunan yang telah dicapai. Justeru institusi keluarga hari ini yang mewariskan generasi
muda perlu sentiasa diberi peringatan agar mereka tidak leka dengan kesenangan yang telah
dicapai. Sebaliknya mereka hendaklah sentiasa meningkatkan keupayaan diri sebagai
persediaan menghadapi cabaran hidup yang bakal ditempuhi. Sesungguhnya penggunaan
undang-undang semata-mata tidak mampu membendung gejala negatif. Hal ini disebabkan
secara lumrah manusia yang melanggar undang-undang beranggapan mereka boleh
mengelakkan dari ditangkap oleh pihak berkuasa.
peranan institusi keluarga dalam penjanaan bangsa bertamadun
77
Ibu bapa pendidik utama anak-anak
Kedudukan tinggi yang telah Islam berikan kepada golongan wanita tidak akan bererti apa-apa
sekiranya kewajipan-kewajipan yang tertentu terhadap rumah tangga dan anggota masyarakat
tidak ditunaikan. Kedudukan dan kemuliaan wanita inilah menjadi faktor asas dalam
melahirkan keluarga yang bahagia. Keluarga bahagia ialah keluarga yang ahlinya sihat, hidup
dalam suasana gembira, bersikap saling hormat menghormati serta terpelihara dari segala
perkara negatif dalam aspek kehidupan. Pembentukan keluarga yang bahagia sebenarnya
memerlukan penyertaan dan kerjasama semua ahli rumah. Bagaimanapun peranan wanita
yang bertindak sebagai isteri dan ibu adalah paling penting. Tanpa mereka, perkembangan
insan akan terhenti, keindahan hidup tidak akan dirasai, segala-galanya akan menjadi pincang.
Wanita hari ini sentiasa diberi peluang yang sama dengan golongan lelaki terutama dalam
bidang pendidikan. Wanita hari ini semakin cerdas dan pintar. Apabila mereka semakin
pandai, maka cita-cita mereka semakin tinggi dan pastinya banyak cabaran yang terpaksa
dihadapi. Semuanya itu hanya dapat dicukupi oleh suami yang mampu, cerdas dan bercita-cita
tinggi. Hasilnya pemeliharaan dan pendidikan anak-anak akan lehih sempurna. Oleh yang
demikian, dalam dunia hari ini, bagi lelaki yang belum sanggup memelihara isteri tidak
sepatutnya berkahwin. Apa yang dimaksudkan dengan memelihara di sini ialah bukan sekadar
memelihara jasmani, tetapi memelihara hati dan jiwa wanita tersebut. Ini kerana hanya wanita
yang terpelihara zahir dan batinnya sahaja yang dapat mendidik anak-anaknya dengan baik
dan sempurna.
Bagi setiap ibu, memelihara dan mendidik anak dengan sebaik-baiknya adalah kebaktian yang
besar terhadap agama, nusa dan bangsa. Sebaliknya mensia-siakan pendidikan dan
pemeliharaan anak, bererti mereka telah merosakkan negara. Ini kerana kerosakan batin
manusia itulah yang menjadi pokok pangkal kerosakan negara.
Allah telah menciptakan umat manusia dengan dua unsur yang memiliki dua kecenderungan
berbeza iaitu kecenderungan untuk melakukan kejahatan (nafsu) dan kecenderungan
melakukan kebaikan (roh). Di samping itu, Allah juga telah menyediakan akal sebagai penilai
yang menilai kehendak dan keperluan berdasarkan kepada ajaran agama bagi meningkatkan
keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Berdasarkan kepada unsur penciptaan manusia inilah,
manusia sentiasa berada dalam konflik kejiwaan dalam pelbagai bentuk kecelaruan mental,
emosi, tingkah laku, personaliti dan akhirnya dinyatakan dalam berbagai gejala sosial yang
menakutkan kecuali kepada mereka yang memiliki jiwa yang sihat dan mampu memberikan
ketenangan kepada individu di sekelilingnya. Firman Allah yang bermaksud “Dan aku tidak
membebaskan diriku dari kesalahan kerana jiwa itu cenderung kepada kejahatan kecuali bila
Tuhanku memberi rahmat. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”
(Surah Yusof: 53).
Ayat tersebut menjelaskan kepada kita tentang kewujudan konflik dalam diri manusia, satu
pertembungan antara tuntutan dan kehendak mereka dengan nilai-nilai dari ajaran agama dan
norma-norma sosial. Ini berdasarkan kepada hakikat penciptaan mereka dan kehidupan
mereka di alam maya ini yang bersifat sementara dan penuh dengan cubaan dan dugaan.
Justeru, ibu dan bapa seharusnya memahami hakikat ini agar strategi dapat diatur bagi
memastikan bahawa anak-anak memiliki kesihatan jasmani. Malahan yang lebih penting iaitu
mereka mempunyai kesihatan jiwa yang akan dizahirkan dalam perbuatan yang mencakupi
perkataan (tutur kata) dan pemikiran.
Jurnal Kemanusiaan bil.9, Jun 2007
78
Sifat asasi sebagai pendidik
Sebagai asasnya, ibu bapa sebagai pendidik perlulah menggembleng sepenuh tenaganya dan
cuba sentiasa memfokuskan perhatian terhadap melaksanakan segala perintah yang diturunkan
Allah. Keyakinan beragama perlulah dipupuk sehingga menjadi darah daging dalam
kehidupan. Sudah pasti anak akan membesar di atas dasar iman dan taqwa dan akan bertapak
padanya akhlak dan budi pekerti yang mulia.
Perlulah diingatkan bahawa sebagai ibu atau bapa kita terlebih dahulu perlu memiliki akhlak
yang mulia. Dengan akhlak yang dapat dicontohi, ibu bapa menjadi teladan kepada anakanak.
Namun sekiranya ibu bapa sendiri yang ketandusan akhlak mulia seperti pengasih,
penyanyang, bersopan santun, berbudi pekerti mulia bagaimana untuk mereka ‘mengeksport’
kemuliaan itu kepada orang lain khususnya kepada anak-anak.
Keadaan ini dengan jelas dapat dilihat dalam tamadun Barat yang telah berjaya memakmurkan
bumi dan memanfaatkan sumber yang dimilikinya. Ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh Barat
misalnya telah berjaya mewujudkan sesuatu yang belum pernah terlintas dalam benak generasi
sebelumnya. Segala yang bersifat material diagungkan, manakala yang bersifat spiritual
dipandang remeh. Kemajuan yang dicapai hanya diukur dengan jumlah banyaknya kuantiti
produk dan kualiti perkhidmatan yang dihasilkan. Keperluan untuk memenuhi tuntutan nafsu
dilakukan, walaupun terpaksa mengorbankan nilai dan akhlak. Kesannya kemajuan atau
tamadun yang dibina ini, rohnya kosong meskipun jasadnya besar, dan cahayanya padam
meskipun bara apinya tetap ada. Akibatnya mereka menjadi sombong dan berbangga diri.
Kesombongan inilah yang membuatkan mereka beranggapan bahawa ia berkuasa di atas
segalanya di dunia ini.
Tamadun yang telah dibina oleh manusia sepatutnya mengambilkira fitrah yang Allah
anugerahkan ke dalam diri setiap manusia.. Firman Allah dalam Surat Yunus, ayat 24
bermaksud: “Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang kami
turunkan dari langit, lalu tumbuhlah tanam-tanaman dengan subur di bumi yang dimakan oleh
manusia dan binatang, dengan sebab air itu; hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan
keindahannya dan berhias dengan bunga-bungaan yang berwarna warni dan penduduknya
menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman dan menguasainya (mengambil
hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau
pada siang hari, lalu Kami jadikan dia hancur lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelumnya itu.
Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir.”
Dalam pembentukan tamadun, golongan wanita seharusnya memahami tugas dan peranan
utama membentuk dan mendidik jiwa agar manusia mampu menghasilkan kemakmuran di
muka bumi ini. Kabahagiaan hidup hanya dapat dinikmati apabila manusia berjaya memenuhi
keperluan yang tertentu seperti keperluan fizikal, mental, emosi, sosial dan rohani. Dalam
kehidupan berkeluarga, isteri yang baik, iaitu yang tahu dan melaksanakan tugas dan
peranannya yang baik adalah merupakan unsur penting kearah mencapai kebahagiaan hidup.
Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban: “Empat perkara yang membawa
kebahagiaan ialah isteri yang baik, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang
selesa.” Sabdanya lagi sebagaimana yang diriwayat oleh al-Dailami: “Empat perkara yang
membahagiakan seseorang ialah isteri yang solehah, anak-anak yang terdidik, sahabat yang
baik dan rezeki yang ada di negeri sendiri”.
Dengan menyedari hal ini, kaum wanita seharusnya tidak akan mensia-siakan kedudukan
tinggi yang telah dianugerahkan Allah terhadapnya. Wanita yang memiliki budi pekerti yang
peranan institusi keluarga dalam penjanaan bangsa bertamadun
79
luhur dan berilmu mampu melaksanakan tugasnya sebagai khalifah di muka bumi, pembina
peribadi mulia dan agen ketenangan dan kebahagiaan. Mereka jangan terlalu ghairah terhadap
kerjaya atau pekerjaan sehingga mengabaikan kebajikan sosial keluarga kerana itu bercanggah
dengan ajaran Islam. Dalam ajaran Islam, semua kerja yang dilakukan demi keperluan umat
termasuk di dalam makna perjuangan fisabilillah. Namun apa yang menimbulkan masalah
ialah sikap sesetengah wanita yang bekerja untuk bebas lepas daripada nilai-nilai rohani, atau
bersikap ingin maju setanding dengan lelaki dalam segenap segi (Zaleha, 2005).
Pengaruh ibu dalam mendidik anak-anak lebih besar berbanding dengan peranan guru di
sekolah. Sebagai contoh kita lihat kejayaan Thomas Edison. Pada suatu hari, Edison disuruh
pulang dengan sehelai kertas yang tercatat “too stupid to be taught”. Bagaimana perasaan
seorang ibu apabila melihat anaknya dilabelkan sedemikian rupa oleh gurunya. Cinta dan
kasih seorang ibu kepada anak semakin mendalam dan dengan hati yang suci murni, ibu
berusaha mengajar anaknya itu. Akhirnya Thomas Edison telah mencipta nama sebagai
seorang pencipta mentol. Napolean Bonaparte pernah menyebut bahawa pendidikan ibu yang
bijaksana merupakan jambatan emas yang akan dilalui oleh anak dalam menuju pantai
bahagia.
Kaedah pendidikan anak-anak
Persoalan yang timbul apakah pula cara yang terbaik untuk memakmurkan sesebuah rumah
tangga. Terdapat banyak kaedah atau cara perlaksanaan sistem pendidikan di sebuah institusi
keluarga. Namun kaedah pendidikan dengan menunjukkan contoh dan tauladan, dan
pendidikan yang menekankan aspek kerohanian dan kesedaran tentang kedudukan bangsa
Melayu adalah dikira asas yang paling penting (Abdullah, 1997:140).
Kepimpinan melalui teladan
Ibu dan bapa sebagai pengemudi bahtera rumah tangga haruslah sentiasa mengekalkan
kemesraan tali percintaan mereka. Cinta yang dipupuk ini bukanlah cinta berdasarkan hawa
nafsu tetapi cinta murni dan sejati yang tidak akan dapat diputuskan oleh pedang yang tajam
dan tidak terlerai oleh gunung yang tinggi dan jurang yang dalam. Mereka perlu sentiasa ingat
bahawa tugas mendidik anak-anak adalah perkara yang amat sukar. Namun semuanya akan
berjaya dilaksanakan dengan kekuatan cinta dan tidak menyimpang dari garis kebenaran yang
telah ditetapkan oleh Islam. Perlu diingatkan bahawa watak dan peribadi anak-anak di masa
hadapan banyak bergantung kepada darah keturunan dan pendidikan yang diterimanya hari
ini.
Pasangan suami isteri perlu ingat bahawa perceraian antara mereka merupakan racun yang
sangat berbisa bagi jiwa anak-anak. Pendidikan yang tergelincir dari garis kebenaran, bahaya,
kecelakaan dan kekacauan tidak akan dapat dibaiki dalam tempoh yang pendek.
Menekankan pendidikan yang bersifat kejiwaan menerusi nasihat dan bimbingan
Pendidikan sebenarnya dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu pendidikan
jasmani, pendidikan minda dan pendidikan jiwa. Mungkin pendidikan jasmani dan minda
boleh diserahkan kepada guru yang telah dipertanggungjawabkan untuk tujuan tersebut.
Namun begitu, pendidikan jiwa yang merupakan pendidikan utama dan penting, hanya dapat
dilakukan oleh ibu yang merupakan insan yang paling dekat dengan anak-anak. Pendidikan
jiwa inilah yang akan menghasilkan akhlak yang tinggi dan satu kehidupan yang indah. Islam
Jurnal Kemanusiaan bil.9, Jun 2007
80
sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna telah mengingatkan umat manusia supaya
sentiasa mengimbangi keperluan di antara rohani dengan jasmani.
Dalam Islam, nilai-nilai kerohanian ini akan memandu dan membimbing manusia dalam
segala aktiviti dan tindakannya. Nilai-nilai moral ini menjadi garis panduan yang
membataskan tindakan hawa nafsu manusia. Manusia tidak perlu mengikut hawa nafsu untuk
menentukan arah tindakannya.
Pendidikan jasmani dan minda yang tidak berdasarkan pendidikan jiwa yang luhur akan
menghasilkan sebuah bangsa yang maju tetapi mundur daripada segi roh atau nilai-nilai
spiritualnya. Sebagai contoh, kita lihat kejayaan masyarakat Barat. Mereka menolak sama
sekali agama dan menganggapnya sebagai penghalang kemajuan intelektual manusia. Mereka
menolak aspek spiritual atas nama sains. Mereka berpendapat bahawa spek spiritual tidak
dapat dikaji dan dinilai secara saintifik dan pengamatan yang objektif tidak dapat dilakukan
bagi mengesahkan kewujudannya. Mereka hanya memberi tumpuan terhadap aspek seperti
biologi, demografi, sosial, persekitaran dan budaya apabila membicarakan tentang tingkah
laku kanak-kanak. Mereka mengabaikan langsung aspek kerohanian dan sosial yang
sebenarnya memainkan peranan penting dalam pembentukan jiwa manusia. Faktor jiwa inilah
yang memberi kesan terhadap akhlak atau tingkah laku seseorang individu. Perlu diingatkan
bahawa akhlak merupakan pokok kesucian batin yang dapat menghasilkan budi pekerti yang
halus, sopan santun, sifat setia, pengasih dan penyayang, pemurah dan suka melakukan
berbagai jenis pekerjaan yang mulia.
Dalam konteks pendidikan anak-anak, memang tepat dikatakan bahawa ibu adalah sekolah
yang pertama bagi anak-anak. Ibulah yang merupakan pendidik rohani atau jiwa yang utama.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah, kedua ibu
bapanya yang menjadikannya sama ada Yahudi atau Nasrani atau Majusi” (hadith riwayat
Imam Muslim).
Rumusan utama ialah agama memainkan peranan penting dan menghasilkan kesan yang
mendalam terhadap pembentukan peribadi anak-anak. Salah satu kepentingan agama ialah
sebagai santapan rohani. Manusia terdiri daripada jasad atau fizikal dan rohani. Setiap
bahagian ini memerlukan makanan yang tersendiri. Fizikal manusia yang dijadikan dari tanah
mendapat makanan yang juga berasal dari tanah seperti buah-buahan, biji-bijian sayur-sayuran
dan sebagainya. Manakala rohani manusia memerlukan makanan yang dikhususkan
kepadanya iaitu agama. Lantaran itu, setiap manusia dilahirkan fitrah untuk beragama.
Bahagian rohani ini akan menderita kesakitan sekiranya ia diabaikan dan tidak diberi
makanan. Kesakitan rohani inilah yang akan mengakibatkan berlaku kezaliman, tindakan
melampau batasan atau perbuatan yang terkeluar dari norma-norma sosial.
Pendidikan anak-anak di rumah menjadi dasar utama pendidikan sebelum memasuki alam
persekolahan. Sekiranya pendidikan dasar ini tidak kukuh, pendidikan di sekolah pun akan
kurang manfaatnya. Untuk menjadi pendidikan jiwa yang berjaya, ibu dan bapa seharusnya
memiliki ilmu pengetahuan bagi memastikan anak-anak mereka sentiasa berjaya dan maju ke
hadapan. Dalam usaha memupuk kesedaran pendidikan ini, ibu bapa juga perlu terlebih
dahulu mengkaji dan melihat semula suasana pembelajaran yang telah disediakan kepada
anak-anak di rumah. Mendidik jiwa ini bererti menanam akhlak atau pokok kesucian batin ke
dalam hati anak-anak. Proses pendidikan jiwa ini juga memerlukan masa yang panjang dan
berterusan. Hasil yang diinginkan juga tidak dapat dilihat dalam tempoh masa yang singkat.
Secara dasar, proses pendidikan jiwa bermula seawal anak-anak dalam kandungan ibu lagi.
Dalam tempoh ini, ibu perlu memelihara kesucian diri secara zahir dan batin seperti
peranan institusi keluarga dalam penjanaan bangsa bertamadun
81
menghindarkan perasaan marah, benci, kesal, takut dan perkara-perkara negatif (mazmumah)
yang lain. Ibu perlu biasa membaca ayat suci al-Qur’an, menjaga pemakanan, muzik yang
menenangkan, memerhati keindahan alam semulajadi. Ibu juga merlu menajamkan minda
anak yang berada dalam kandungan itu dengan memperbanyakkan aktiviti berfikir tentang
berbagai-bagai ilmu pengetahuan.
Suami isteri yang hidup rukun dan damai, saling menyenangkan dan menggembirakan dengan
perasaan tulus dan ikhlas akan menikmati kebahagiaan hidup yang sebenarnya. Mereka perlu
saling memahami. Hasilnya berbahagialah anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang
sedemikian. Perasaan inilah yang akan menyuburkan sifat-sifat mulia dalam jiwa anak-anak.
Memupuk kesedaran yang berterusan bahawa pendidikan adalah alat penebus martabat
bangsa
Ibu bapa merupakan penggerak utama dalam membentuk tamadun kekeluargaan. Kerukunan
sesebuah institusi rumah tangga ini akan membentuk tamadun bangsa bagi sesebuah negara.
Untuk tujuan tersebut ibu bapa hendaklah sentiasa mengingatkan anak-anak bahawa hanya
dengan pendidikan, kedudukan sesebuah bangsa dapat dimartabatkan. Anak-anak mempunyai
peranan yang amat penting dalam meneruskan perjuangan iaitu perjuangan membina tamadun
bangsa. Bermula dari peringkat awal lagi, anak-anak perlu diberi pendedahan untuk
mempertingkatkan daya dan upaya dalam pendidikan agar prestasi mereka setanding dengan
rakan-rakan mereka yang lain. Persediaan ini juga penting agar mereka lebih bersedia dalam
menghadapi arus globalisasi dan menggunapakai teknologi maklumat dan komunikasi dalam
proses pembelajaran. Akhirnya yang paling penting, ialah penglibatan mereka secara langsung
dalam pembangunan keluarga, masyarakat, agama dan negara.
Kesimpulan
Pendidikan yang berkualiti daripada ibu bapa sangat diperlukan dalam cabaran dunia
globalisasi masa kini. Hal ini amat penting terutamanya dalam menyediakan bekalan ilmu
untuk mengharungi kehidupan pada masa depan. Kegagalan ibu bapa untuk berperanan
sebagai pendidik akan mengundang pelbagai gejala sosial yang boleh memudaratkan
masyarakat dan negara. Sebagai ibu bapa Muslim, kita perlu menghayati ajaran agama Islam
sepenuhnya kerana itulah satu-satunya jalan untuk mencapai kesejahteraan dalam kehidupan
manusia.
Kemakmuran yang pada asasnya bermula dari dalam diri individu akan berkembang untuk
mewujudkan kesejahteraan dalam keluarga. Melalui tiga kaedah pendidikan asas iaitu
pendidikan melalui teladan, pendidikan yang menekankan aspek kerohanian dan pendidikan
tentang kedudukan dan kelangsungan bangsa, ibu bapa mampu menyumbang ke arah
pembentukan sebuah tamadun bangsa.
Integriti merupakan suatu pakej nilai-nilai murni yang mulia yang terhasil dari kredibiliti dan
kemuliaan kedua ibu bapa untuk menjamin kekuatan sesebuah institusi keluarga. Institusi
keluarga yang dipimpin oleh ibu bapa mempunyai integriti yang tinggi sebagai asas
pembentukan sebuah masyarakat. Masyarakat yang memiliki dan menguasai ilmu
pengetahuan dan akhlak yang mulia merupakan eleman penting untuk membentuk sebuah
tamadun bangsa.
Jurnal Kemanusiaan bil.9, Jun 2007
82

Monday, April 18, 2011

Taklimat New Deal

Pn. Norizan Guru Besar SK Tempoyang sedang berkongsi pengalaman beliau di pantau oleh JNJK untuk New Deal pada minggu kedua bulan Januari 2011. SK Tempoyang berjaya mendapat New Deal. Tahniah kepada Pn. Norizan dan pasukan kerjanya.

Kursus Kepimpinan Pelajar

Jeram Bechung, Kuala Medang, Lipis.
1-3/4/2011